Home / Artikel / Kisah Seram Hotel Murah Yang Berhantu Di Sabah

Kisah Seram Hotel Murah Yang Berhantu Di Sabah

Kisah yang ingin saya kongsikan di sini adalah berkenaan dengan sebuah hotel murah yang terletak di Sabah. Saya dan isteri saya berasal dari Perak. Saya bertugas sebagai seorang guru manakala isteri saya pula adalah seorang suri rumah sepenuh masa. Pada suatu hari, kami bercadang ingin bercuti di Sabah, kerana waktu itu adalah cuti sekolah pertengahan tahun. Jadi, pada hari itu juga kami tempah tiket dan terus terbang ke Sabah.

Dipendekkan cerita, sampai saja di Sabah. Kami mencari sebuah hotel yang selesa dan berbaloi dengan harga. Kami ini jenis berjimat sikit. Kalau lagi murah hotel itu, lagi okay bagi kami. Apa yang penting bagi kami ialah boleh buat tidur, mandi dan merehatkan badan. Ada semua itu, bagi kami okay dah. Sama ada bilik kecil atau besar, kami tidak kisah. Lagi pula, gaji saya pun takda lah sebesar mana. Maklum saja lah, waktu itu saya baru saja jadi cikgu. Isteri pula tidak bekerja.

Ketika mencari hotel, kami terjumpa seorang pakcik, umurnya kira-kira dalam 40-an. Kerana sudah penat berjalan mencari hotel, kami pun bertanya pada pak cik tersebut, “Pak cik, tumpang tanya. Pak cik tahu tak kat mana ye hotel murah di kawasan terdekat ni?” Pak cik itu menjawab “Oh, kalau nak cari hotel murah, pergi dekat sana”, katanya sambil menunjukkan jalan yang patut kami lalui.

Pak cik itu menyambung lagi, “Tapi kalau adik nak hotel yang lagi murah, pergi hotel dekat hujung sana tu. Tapi kat sana, kena tahan sikitlah. Dengar cerita, kat sana tu keras sikit. Ada hantu ke apa, yang itu saya tak tahu. Saya cuma dengar-dengar cerita sahaja”, kata pak cik itu sambil menunjukkan sebuah hotel yang agak susah kelihatan kerana hotel tersebut berada agak terlindung. Macam dalam hutan dan yang ngerinya, dalam kawasan itu yang ada hanya hotel itu sahaja. Tidak ada bangunan lain.

Saya ini jenis yang berani sikit. Sebenarnya acah-acah berani saja. Lagipun saya memang suka benda-benda yang menyeramkan macam ni. Jadi, saya pun mengambil keputusan untuk menginap di hotel murah kat sana tu. Isteri saya pun membalas “Abang, tak payahlah tidur kat sana. Kan pak cik itu dah cakap, hotel sana keras”.

Saya : “Alah awak ni, pak cik itu pun cakap dia dengar-dengar cerita sahaja. Takda apa-apa lah awak, jangan risau”.
Isteri : “Saya tetap taknak jugak bang. Lagipun dalam hutan tu bang, seram tahu tak?”
Saya: “Okay, okay. Macam ni, kita tidur dulu sana, kalau ada apa-apa gangguan, abang janji kita terus check out. Okay?”
Isteri: “Ye lah ye lah”, sambil menganggukkan kepala dan memuncungkan mulut sedepa.

Sampai di lobi hotel tersebut, kami pun terus mendaftar masuk. Masuk saja bilik, memang tak sangka bilik itu memang besar dan selesa. Harganya pula memang cukup murah, hanya RM49 untuk satu malam. Memang terbaik, tandas bersih, ada astro, pendingin hawa, katil besar dan siap ada beranda untuk menghisap rokok. Selepas kami check in dalam pukul 12 tengah hari itu, sehari itu kami duduk berehat di hotel sahaja, sambil menonton televisyen dan bersembang-sembang. Kami juga sempat mandi kolam di hotel tersebut.

Apabila tiba waktu malam, oleh kerana terlalu keletihan, pada pukul 10 malam kami terus tidur. Keesokan paginya, saya kejutkan isteri untuk bangun solat subuh. Selesai solat subuh, saya pun saja la mengusik isteri saya, “Ha macam-mana, kena kacau hantu tak malam tadi?”. Isteri saya hanya tersenyum malu tak terkata. Saya pun gelak-gelak saja. Hari itu, kami berjalan-jalan meronda di Sabah.

Dipendekkan cerita lagi, tiba waktu malam, lebih kurang pada pukul 10 malam, kami agak keletihan. Sebenarnya saya yang keletihan, sebab saya yang memandu kereta sewa dan saya juga yang angkat barang-barang ketika membeli belah siang tadi. Tidak lama selepas itu, saya pun tertidur. Kira-kira dalam pukul 4 pagi, tiba-tiba isteri saya kejutkan saya dalam keadaan yang cemas, “Abang, abang, bang, bangun bang. Saya nak keluar dari hotel ini bang”. Waktu itu, mukanya kelihatan agak cemas dan ketakutan.

Dalam keadaan mamai, saya pun menjawab, “Apa kena dengan awak ni? Abang mengantuklah”. Tapi isteri saya terus berkata, “Abang, saya takut bang. Saya nak keluar, bang. Tolonglah”. Mukanya kelihatan sangat ketakutan dan hampir-hampir nak menangis. Isteri saya ini memang manja sikit orangnya, tapi alhamdulillah dia selalu mendengar kata.

Saya pun tengok keadaan dia macam ketakutan sangat. Mungkin isteri saya tu kena ganggu kot. Oleh kerana saya sudah berjanji akan terus check out kalau ada kena ganggu ke apa ke, jadi saya pun terus bangun, pasang lampu dan kemas barang-barang kami. Tanpa membuang masa, kami terus check out. Disebabkan masa itu, saya masih mengantuk dan isteri saya pun nampak macam sangat ketakutan, saya pun senyap saja dalam kereta sewaktu tengah memandu sambil mencari hotel lain. Lagipun saya nak bagi dia tenang-tenang dulu.

Sampai sahaja di hotel lain, kami terus mendaftar masuk. Sampai di bilik, saya pun duduk la kat kerusi tu, tunggu bini saya tidur dahulu. Sebelum dia terlena, dan dia pun nampak macam da okay, saya pun tanya la dia “Kenapa dengan awak tadi tu?”. Isteri saya menjawab, “Ada hantu bang kat hotel tu. Dalam pukul 12 tengah malam tadi, macam ada bayang-bayang orang yang lalu dekat beranda hotel tu bang. Pada masa tu saya buat tidak tahu saja sebab tak nak ganggu abang tidur”.

“Saya pun cuba la tidur tapi sekali tu saya terdengar bunyi macam ada orang ketuk-ketuk kat bawah katil kita. Perlahan saja saya dengar bunyi ketukan itu. Masa itu, bulu roma saya dah meremang dah, habis semua naik berdiri. Tapi saya masih buat tidak tahu dan akhirnya saya dapat melelapkan mata. Tetapi dalam pukul 3 pagi lebih macam tu, saya terjaga,” kata isteri saya menyambung ceritanya.

Menurut cerita isteri saya, dia terjaga kerana bunyi ketukan itu menjadi semakin kuat. Dek kerana sakit hati, isteri saya membaling bantal ke bawah katil tanpa dia melihat ada apa kat bawah katil itu. Namun secara tiba-tiba, muncul satu makhluk yang merangkak laju lalu masuk ke dalam tandas. Kerana ketakutan, isteri saya terus mengejutkan saya bangun tidur dan mengajak saya berpindah ke hotel lain.

facebook LIKE UTK TERIMA UPDATE TERKINI & KLIK [X] UTK TUTUP--> Button Close

Like kami di facebook untuk menerima update terkini terus ke wall facebook anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

kerja kosong malaysia