Home / Artikel / Hospital JB Kecoh,Wanita Bunuh Diri Kerana A Rahman Hassan

Hospital JB Kecoh,Wanita Bunuh Diri Kerana A Rahman Hassan

PAGI itu, pernafasannya agak terganggu. Ahh… Nampaknya penyakit lama yang dihidapi sejak umur 14 tahun datang kembali.

Tapi dia sudah biasa berdepan dengan masalah jantungnya itu namun kalau degupannya agak lain macam, maka ke hospital sahajalah tempatnya.

Akhirnya A Rahman membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Johor Bahru, tak jauh dari rumah keluarganya.

Setibanya di hospital, dia terpaksa ditahan di wad kerana pihak doktor perlu melakukan pemeriksaan jantung, rutin yang biasa dilakukan setiap kali dia mendapatkan rawatan.

Namun suasana di hospital pada waktu itu agak kecoh dan kelam kabut tapi A Rahman masih mampu untuk jadi penyibuk semata-mata perasaan ingin tahu apa yang berlaku.

Peminat dan selebriti tempatan akan merindui suara A Rahman.

“Kenapa sibuk-sibuk semua ni? Apa yang berlaku?” Soal A Rahman kepada kakitangan hospital.

“Ada perempuan meninggal dunia, bunuh diri,” jawab pekerja hospital itu.

“Kenapa dia bunuh diri?” Tanya A Rahman lagi.

Overdose pil tidur,” pekerja hospital itu terus sambung cerita.

“Mesti ada sebab tu. Kenapa sanggup makan pil tidur?” A Rahman tetap bertanya kerana tak puas hati selain untuk mendapat kepastian.

Malas untuk berkias-kias lantas pekerja hospital itu berterus-terang.

“Dia makan pil tidur kerana A Rahman Hassan dah bertunang!” ujar pekerja hospital itu dan kemudian berlalu pergi yang membuatkan A Rahman nyaris pengsan akibat terkejut.

A Rahman  (dua dari kiri) bersama arwah isterinya, Azizah dan anggota kumpulannya Orkes Nirwana. Foto: Juhanis Yaacob Photography.

Peristiwa pada tahun 1969 ketika beliau berusia 23 tahun itu diceritakan kepada saya dalam satu pertemuan tatkala saya ingin tahu tahap populariti yang diraihnya suatu ketika dahulu adakah setanding atau melebihi generasi baharu hari ini.

Bercerita akan kisah itu, maka percayalah saya bahawa A Rahman bukan artis ‘biasa-biasa’ pada eranya.

Ujar Allahyarham, dia berkahwin dengan Azizah Mohammad pada 6 Jun 1969 selepas enam bulan bertunang.

Saya minta kawan-kawan tanya, dia nak atau tak pada saya? Tak lama selepas itu dia jadi ahli tetap Orkes Nirwana dan bermulalah detik perkenalan kami dengan rapat.

DATUK A RAHMAN HASSAN

PENYANYI

Ia bermula selepas A Rahman meminta kawan-kawan bertanyakan Azizah adakah wanita itu mahu berkahwin dengannya atau tidak?

Ketika itu mereka sering berjumpa selepas terlibat dalam aktiviti kebudayaan sekitar Johor Bahru dan A Rahman telah terpaut ketika melihat Azizah menari tarian tradisional.

“Saya minta kawan-kawan tanya, dia nak atau tak pada saya? Tak lama selepas itu dia jadi ahli tetap Orkes Nirwana dan bermulalah detik perkenalan kami dengan rapat,” kata A Rahman.

Atas nasihat datuk, A Rahman akhirnya memutuskan untuk berkahwin dengan Azizah.

Gambar kenangan Allahyarham bersama isteri bagi perkahwinan keduanya Fadilah Mansor.

Selain kisah bunuh diri itu, ada dua peminat wanita sanggup datang ke rumah meminta izin orang tuanya untuk tinggal bersama dalam usaha mendekati A Rahman ketika zaman bujangnya.

“Mereka sempat tinggal beberapa bulan bersama keluarga saya dengan harapan untuk mengenali saya dengan lebih rapat,” katanya.

Senario itu menunjukkan A Rahman yang mengangkat irama Pop Yeh Yeh bersama kugiran, Orkes Nirwana benar-benar luas biasa auranya.

Sejarah Orkes Nirwana bermula apabila ia ditubuhkan pada malam Jumaat, 25 Mac 1965 satu-satunya kugiran yang menggunakan nama Melayu di Selatan tanah air ketika itu membariskan tujuh orang anggota.

Bagaimanapun selepas penubuhannya, anggota asal Orkes Nirwana bertukar ganti sehinggalah ia mengekalkan A Rahman sendiri sebagai pemimpin dan pemain gitar utama, Azizah Mohamad (penyanyi), E Elias (bes), B Badron (gitar utama), M Radzy Jalil (dram) dan A Rozi Ashari (pemain tamborine).

Melonjak nama

Kugiran Orkes Nirwana mula melonjak namanya selepas M Osman membawa mereka ke Singapura untuk membuat rakaman empat buah lagu di Kinertek Studio yang dikeluarkan dalam bentuk EP.

Lagu-lagu itu ialah Tak Mengapa, Harapanku, Kisah Di Simpang dan Di Mana Gerangan.

Foto terakhir bersama keluarga tercinta yang dirakam pada pagi Syawal lalu.

Tak Mengapa dimasukkan dalam senarai rancangan Penyanyi Pujaan Minggu Ini terbitan radio Singapura sehinggalah ia menduduki tempat pertama carta lagu itu selama sembilan minggu.

Bermula dari situlah nama A Rahman Hassan dan Orkes Nirwana mula melonjak dan memaksa mereka terus menghasilkan lima lagi EP tapi kali ini turut melibatkan Azizah Mohamad dan juga Afida ES.

Kejayaan Orkes Nirwana yang mampu bertahan itu membolehkan mereka menerima pengiktirafan sebagai ‘Kumpualn Pop Yeh Yeh Yang Paling Lama Bertahan’ iaitu selama 40 tahun oleh Malaysia Book of Record.

Pengiktirafan itu disampaikan oleh Menteri Penerangan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir pada tahun 2005.

Selain muzik, pencapaian A Rahman dalam kerjaya tetapnya bermula apabila dia bekerja dalam sektor kerajaan sebagai pegawai pos di negeri Johor (1965-1973), Pegawai Kebudayaan, Belia dan Sukan di Pekan, Pahang (1974-1978) dan Penolong Pengarah Kebudayaan (1978-1984).

Di sektor swasta beliau pernah bertugas sebagai Pengurus Hal Ehwal Awam, TV3 (1984-1987) dan seterusnya Pengerusi Eksekutif, Kumpulan Apex Regency Holdings Sdn Bhd (1988-2000).

Fasa duka

Dalam kehidupan, A Rahman turut melalui fasa sedih apabila Azizah meninggal dunia pada 26 April 2013 ketika berusia 66 tahun akibat menghidap kanser pangkal rahim.

Tiga tahun selepas itu, anak keduanya daripada tiga beradik iaitu Khairul Ilmi pula meninggal dunia akibat kanser.

Namun kesedihan akibat kematian isteri sedikit terubat selepas dia bertemu jodoh dengan pelakon Fadilah Mansor pada 25 Disember 2014.

Pelakon, Khir Rahman yang merupakan anak sulung mengimamkan solat jenazah Allahyarham Datuk A Rahman Hassan di Masjid Al-Ansar, Keramat, Kuala Lumpur. FOTO: Bernama .

Anak cucu berkumpul

Pada Ramadan lalu saya sempat bertemu Allahyarham sebanyak tiga kali.

Kali terakhir kami terlibat dalam majlis meraikan anak-anak yatim dan artis veteran bersama Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di Menara Berkembar Petronas pada 25 Mei lalu.

Dalam majlis itu saya melihat A Rahman begitu khusyuk mendengar tazkirah, pentingnya mendekatkan diri dengan Al-Quran disampaikan oleh Ustaz Syed Walid Al Giffa.

Selepas berbuka, saya mendekatinya yang sedang berdiri. Saya melihat wajahnya agak pucat seperti kurang sihat namun tidak mengesyaki apa-apa, mungkin penat berpuasa jangkaan saya.

Dalam pertemuan itu saya bertanya aktiviti hujung minggu yang wajib dilakukan.

Pelakon yang juga balu Allahyarham Datuk A Rahman Hassan, Fadilah Mansor (tengah) tidak dapat menahan sebak melihat jenazah suaminya, ketika dibawa dari kediaman mereka di Taman Sri Ukay ke Masjid Al-Ansar, Keramat.  Foto: Bernama.

Kata A Rahman, beliau mengamalkan sikap kasih sayang yang tinggi sesama keluarga iaitu antara kunci untuk hidup bahagia.

Menjadi kewajipan anak-anak dan cucunya untuk bermalam di rumahnya setiap hujung minggu.

“Di situlah hubungan saya dengan anak-anak dan cucu akan menjadi rapat. Apabila kita sudah tua, selalunya anak-anak akan sibuk dan kadang-kadang melupakan kita.

“Itu yang saya tidak mahu dalam keluarga saya. Saya tanamkan sikap ini agar mereka faham nilai kasih sayang sebenar,” katanya.

Falsafah A Rahman itu benar-benar terkesan dalam sanubari saya. Ya… kasih sayang tidak dapat dijual-beli apatah lagi ia semakin terhakis dalam institusi kekeluargaan ketika ini.

Namun kini, hujung-hujung minggu yang dilalui anak dan cucu-cucu A Rahman tidak lagi seperti hujung minggu biasa kerana giliran beliau pula menuruti jejak Azizah dan anaknya Khairul Ilmi yang terlebih dahulu pergi.

Gambar kenangan A. Rahman (tengah) bersama rakan-rakan artis termasuk wartawan Niezam Abdullah (kiri) dan penyanyi Datuk Nash (tiga dari kiri) selepas solat Tarawih pada satu majlis di Menara Berkembar Petronas pada 25 Mei lalu.

12.40 tengah malam Khamis mengejutkan dunia seni apabila A Rahman, 73, pergi menghadap maha pencipta buat selama-lamanya di Hospital Ampang selepas beberapa hari tidak sedarkan diri akibat strok dan pendarahan pada bahagian otak.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Keramat pada Khamis.

Allahyarham meninggalkan legasi seni yang tidak mungkin dapat diwarisi orang lain.

Imej kemas dan corak berpakaian merelit-merelap ketika di pentas terus segar dalam ingatan setiap insan sebagai petanda betapa kuatnya irama Pop Yeh Yeh yang ditunjanginya itu.

Kepada Allahyarham, dunia seni tidak akan lupa akan kehebatan mu dan mudah-mudahan Allah menempatkan kamu dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Sekilas mengenai A Rahman Hassan

Nama penuh: Datuk Abd. Rahman Hassan

Tarikh lahir: 30 Julai 1946

Tempat lahir: Johor Bahru, Johor

Isteri: Azizah Mohamad (meninggal dunia pada 26 April 2013), Fadilah Mansor (berkahwin pada 25 Disember 2014)

Anak-Anak: Khir Rahman, Khairul Ilmi (meninggal dunia pada 2016) dan Khairul Azmi

Pendidikan: Sijil Tinggi Persekolhan Malaysia (1968)

Anugerah diterima

1. Penyanyi Pop Terbaik, Singapura – 1966

2. Anugerah Oskar, Malam Oskar dan Pop, Stadium Negara, Kuala Lumpur – 1967

3. Anugerah Wirama – Anugerah Industri Muzik – 2005

4. Kumpulan Pop Yeh Yeh Yang Paling Lama Bertahan 1965-2005 (40 tahun) oleh Malaysia Book of Record – 2005

5. Artis Sepanjang Zaman berkumpulan, Anugerah Papita – 2006

6. Tokoh Kepimpinan Industri-Industri Muzik, Anugerah Papita – 2006

7. Tokoh Seni Budaya Negeri Johor – 2010


sumber

facebook LIKE UTK TERIMA UPDATE TERKINI & KLIK [X] UTK TUTUP--> Button Close

Like kami di facebook untuk menerima update terkini terus ke wall facebook anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.